Vacazzee

All about East Malaysia's travel information, people, cultures, news and events

Penghujung Utara Borneo
Travel Info

Penghujung Utara Borneo Membuatkan Pengunjung Merasakan Seperti Berada di Penghujung Dunia.

Tip Of Borneo!

Tidak asing lagi buat para pengunjung yang pernah datang melawat ke Kudat untuk “Tip of Borneo”. Penghujung Utara Borneo dirasakan seperti berada di Penghujung Dunia.

Kudat terletak 179.3 Kilometer daripada Pusat Bandaraya Kota Kinabalu dan memakan masa hampir 4 jam untuk sampai ke daerah itu.

Apa yang menarik perhatian pengunjung tentang daerah Kudat ini adalah tentang Tanjung Simpang Mengayau atau lebih dikenali sebagai “Tip Of Borneo” yang terletak di antara Laut Sulu dan Laut China Selatan.

Kejernihan airnya membuatkan sesiapa sahaja yang datang ke sini akan merasa kagum dengan hasil ciptaan Tuhan ini. Bukan itu sahaja, kawasan sekitarnya juga mempunyai pemandangan yang menarik.

Penghujung Utara Borneo
Perasaan berada di sini. Biar gambar yang berbicara.

Kebanyakan pengunjung tempatan mahupun luar negara akan merasakan seperti berada di penghujung dunia di penghujung Utara Borneo.

Ini adalah kerana pemandangan laut daripada atas “Tip Of Borneo” ini sangat luas dan tiada penghujung di sekitarnya. Kapal yang berlalu di Tanjung ini juga sangat sedikit.

Penghujung Utara Borneo
Selamat Datang ke Tanjung Simpang Mengayau.

Aktiviti Yang Boleh Anda Lakukan Di Sini.

Selain daripada itu, terdapat beberapa aktiviti riadah bersama teman-teman dan keluarga yang boleh dilakukan di sekitar Tanjung Simpang Mengayau.

Surfing

Surfing merupakan aktiviti air lasak yang dilakukan di Tanjung Simpang Mengayau. Biasanya, mereka yang melakukan aktiviti ini merupakan mereka yang mempunyai kemahiran berenang.

Permainan “Surfing” ini sangat sesuai dilakukan di sini disebabkan ombaknya yang bergelora dan selamat untuk melakukan aktiviti ini.

Aktiviti lasak “surfing”.

Bagi mereka yang tidak mempunyai kemahiran berenang, anda dinasihatkan untuk melakukan aktiviti ini dengan mereka yang mahir untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Berkelah atau “Camping”

Melakukan aktiviti ini di Tanjung Simpang Mengayau agak berlainan daripada berkelah di tempat lain.

Perasaan berkelah di tepi pantai Tanjung Simpang Mengayau sangat mengujakan disebabkan anginnya yang nyaman dengan pemandangan laut yang tiada penghujung.

Kebersihan di sini sangat sesuai untuk aktiviti berkelah bersama keluarga dan rakan-rakan. Aktiviti berkelah dapat mengeratkan hubungan diantara keluarga dan rakan-rakan.

Mandi-manda di Tepi Laut

Dengan kejernihan laut di pantainya, amat sesuai untuk bermandi-manda. Yang paling penting, janganlah kita mengotori pantainya dengan sisa ataupun sampah di persekitaran kawasan pantai ini.

Namun yang demikian, anda perlu peka dengan amaran yang dikeluarkan. Sekiranya bendera berwarna merah anda dilarang untuk mandi manda kerana cuaca tidak sesuai dan ombak besar.

Mengambil Foto Kenangan

Tidak sah sekiranya anda tidak mengambil gambar semasa lawatan anda di sini untuk kenang-kenangan yang anda telah sampai di penghujung Borneo Utara.

Pemandangan sekeliling alam semulajadi di Tanjung Simpang Mengayau dengan lautnya sangat indah. Rugi sekiranya tidak mengambil foto mahupun video semasa lawatan ke sini.

Sebenarnya, terdapat banyak lagi yang semestinya anda boleh lakukan di sini. Berikut yang di atas merupakan antara tumpuan utama aktiviti yang di lakukan di sini.

Penginapan

Sekiranya anda melawat ke “Tip Of Borneo”, ianya tidak menyeronokkan sekiranya anda tidak bermalam di kawasan ini kerana pemandangan di waktu malam juga amat menarik dan udaranya sangat segar.

Pasti perjalanan anda sangat meletihkan sekiranya anda memandu ke Tanjung Simpang Mengayau dan perlukan rehat untuk meneruskan perjalanan seterusnya.

Terdapat juga penginapan yang memberikan pengalaman seperti berada dalam ruangan budaya penduduk tempatan dan cara kehidupan seperti mereka.

Anda boleh memilih untuk bermalam secara “camping” ataupun terdapat beberapa penginapan untuk anda bermalam di sini. Berikut adalah tempat penginapan terdekat yang disediakan.

  1. Simpang Mengayau Chalet
  2. TSM Merimmas Villa
  3. Borneo Tip Beach Lodge
  4. Kotak Kotak Borneo
  5. Chalet Nom Kamil
  6. Matamban Motel
  7. Homestay Rock Chalet
  8. Layang’s Home

Pengangkutan

Biasanya, bagi pengunjung tempatan Sabah yang ingin bertandang ke “Tip Of Borneo” ini selalunya menaiki kenderaan pandu-sendiri untuk datang ke Tanjung Simpang Mengayau, Kudat.

Sebaliknya bagi pengunjung yang berada luar dari Sabah, samaada penduduk tempatan mahupun antarabangsa, mereka akan mengikuti bas pelancongan, teksi, kenderaan e-hailling ataupun sewa-pandu sendiri.

Sekiranya anda ingin memerlukan masa yang tidak terhad, sebaiknya anda memilih untuk sewa-pandu sendiri kerana anda dapat menikmati perjalanan dengan mudah tanpa halangan masa yang terhad.

Terdapat banyak platform online yang membolehkan anda untuk menempah sewa-pandu sendiri untuk menikmati perjalanan semasa anda di Sabah.

Selain daripada itu, terdapat juga penerbangan domestik ke bandar Kudat untuk mereka yang ingin menaiki pesawat untuk sampai ke daerah ini.

Tidak kisah bagaimana anda menggunakan jenis pengangkutan yang mana, yang pasti lawatan anda ke Tanjung Simpang Mengayau ini pastinya tidak akan sia-sia.

Penutupan

Kesimpulannya, penghujung Utara Borneo ini membuatkan pengunjung merasakan seperti berada di penghujung dunia.

Luangkan masa anda sekurang-kurangnya sekali dua dalam seumur hidup untuk menikmati pengalaman berada di “penghujung dunia” ini.

Untuk semua yang membaca, Selamat Menyambut Hari Natal dan Selamat Menyambut Tahun Baru 2020 diucapkan.

Semoga pelancongan di Sabah pada tahun 2020 dapat mempertingkatkan lagi industri pelancongan di Sabah.

Leave a Reply