Vacazzee

All about East Malaysia's travel information, people, cultures, news and events

Events People & Culture

Tidak Salah untuk Bergembira Menyambut Pesta Kaamatan tetapi, Adakah Nilai-Nilai Murninya Dihayati dan Difahami?

Sumandak Sabah memang paling tarbaik !

Kaamatan: Pesta menuai yang disambut setahun sekali di negeri Sabah dan mitos penting yang perlu diketahui masyarakat tentang makna sebenar “Kaamatan”.

Perkataan yang datang daripada perkataan “Kaamatan” ini pada asalnya berasal daripada perkataan “Tomot” iaitu daripada terma Kadazan-Dusun bermaksud “Menuai”. Pesta Kaamatan ini merangkumi keutamaan prinsip seperti penyerahan kepada dewa-dewa, penyegaran, pembersihan dan pemulihan, pemulihan semula semangat kebajikan, dan kesyukuran terhadap sumber alam. Ia adalah sebahagian daripada sistem agama Momolian yang kompleks yang berpusat pada upacara padi, laluan dan kitaran hidup Bambarayon – semangat padi di dalamnya. Untuk benar-benar memahami maksud kaamatan, bukan hanya sekadar perayaan untuk menandakan permulaan panen, ianya juga mengenai mitos yang perlu diberitahu kepada masyarakat untuk mengetahui makna yang lebih mendalam mengenai Festival Tadau Kaamatan ataupun Pesta Menuai . Semuanya bermula daripada Tuhan mereka, Kinoingan yang merasa kasihan terhadap orang-orang yang menderita akibat kelaparan yang banyak pada bulan yang lalu. Untuk menyelamatkan rakyat, dia mengorbankan anak perempuannya, Huminodun, dengan memotongnya menjadi kepingan kecil. Kononnya, mayat Huminodun itu telah mengeluarkan berjenis-jenis benih tumbuhan yang menjadi makanan utama kepada kita sekarang. Salah satu benih tumbuhan itu ialah padi. Oleh kerana sebahagian daripada mayat Huminodun itu mengeluarkan benih padi, maka wujudlah kepercayaan bahawa padi itu mempunyai semangat yang diberi nama “Bambarayon”.

Bobohizan semasa sambutan Pesta Kaamatan.

Bermula daripada kejadian tersebut orang-orang Kadazan Dusun memulakan upacara Pesta Kaamatan, juga dikenali sebagai KOKOTUAN ( Pesta Menuai ) seperti yang dirayakan sejak awal sehingga kini. Perayaan seumpama ini mengharapkan agar rezeki yang akan datang bertambah baik dan lumayan. Upacara penghormatan terhadap semangat padi yakni padi-padi yang selesai dituai dan telah selamat dimasukkan ke dalam ketawai ( Tangkob ) iaitu bekas tempat menyimpan padi. Selain itu, perayaan Pesta Kaamatan ini juga mengingatkan kaum itu mengenai asal-usul serta pencipta mereka – Kinorohingan, yang sanggup mengorbankan anak kesayangannya – Humindoun untuk menyelamatkan mereka daripada mati kebuluran.

Sawah padi yang luas terbentang.

Keharmonian ke arah perpaduan kaum di seluruh Sabah.

Tradisi yang unik dalam budaya bertani yang diamalkan turun-temurun telah diterjemahkan menerusi sambutan Pesta Kaamatan yang diangkat menjadi sambutan tahunan dapat menyaksikan betapa tingginya nilai perpaduan serta kayanya warisan budaya rakyat negeri ini dalam memajukan diri dalam bidang pertanian. Hal demikian kerana Kaamatan bukan sahaja berperanan memupuk azam rakyat untuk memajukan ekonomi berlandaskan kepada warisan tradisi tetapi turut berpaksikan kepada nilai-nilai kasih sayang dan perpaduan. Pesta Kaamatan ini merupakan salah satu simbol perpaduan dan kejayaan rakyat berbilang kaum dalam bidang pertanian seperti tanaman padi yang dipertonjolkan semasa Pesta ini berlangsung.


Ketua Menteri Sabah,
Datuk Seri Panglima Haji Mohd.Shafie bin Haji Apdal melakukan upacara “Mengomot”.

Banyak perkara yang boleh kita pelajari menerusi tradisi rakyat di Sabah ini yang antaranya bersikap gigih melaksanakan tanggungjawab bertani untuk diri dan keluarga, seterusnya mengamalkan budaya bekerjasama antara kaum bagi memastikan sesama rakyat mampu meraih hasil yang lumayan secara saksama. Untuk mengekalkan keharmonian yang sedia ada, masyarakat di Sabah perlu terus memelihara perpaduan sesama mereka menerusi apa jua saluran dan peranan bagi mengekalkan keharmonian itu menjadi contoh kepada seluruh masyarakat dunia terhadap perpaduan kaum di seluruh Sabah.

Cara mengekalkan keharmonian tersebut dengan mengamalkan budaya bekerjasama.

Persembahan dan Pertandingan yang diadakan di sambutan Pesta Kaamatan.

Tarian Sumazau

Sumazau adalah tarian tradisional rakyat yang popular di Sabah dan di seluruh Malaysia. Ia adalah tarian tradisional Kadazan Dusun. Ia sering dilakukan semasa perayaan pesta Kaamatan setiap bulan Mei. Pelbagai etnik daripada seluruh daerah di Sabah mempersembahkan dan mempertandingkan Tarian Sumazau semasa sambutan Pesta Kaamatan ini. Sumazau ditari oleh petani, lelaki dan perempuan, yang memakai pakaian tradisional, hitam dan merah. Ia dimainkan dengan iringan elang; biasanya enam gong pelbagai saiz, dan sebuah gendang dengan irama yang unik. Tempo dan irama Sumazau berbeza mengikut daerah di negeri Sabah.Tarian ini diilhami daripada pola helang berterbangan yang disaksikan oleh petani yang berehat di ladang semasa musim menuai. Semasa tarian, setiap penari mesti mengikut urutan serta bergerak hanya beberapa sentimeter jauh dari satu sama lain tanpa menyentuh. Upacara tarian seperti Sumazau dilakukan di pelbagai perayaan atau sambutan. Penuaian dan kesyukuran, sebagai lagu yang menunjukkan penentangan terhadap penindasan, untuk menenangkan dan menghormati dewa-dewa tempatan, dan menyembukan penyakit.

Persembahan Tarian Sumazau daripada adik-adik yang comel.
Tarian Sumazau yang dipersembahkan oleh Etnik Dusun Tangaa, Membakut

Pertandingan nyanyian “SUGANDOI”

Sugandoi merupakan perkataan daripada suku kaum kadazandusun yang membawa maksud pertandingan nyanyian lagu-lagu Kadazan, Dusun, Murut. Pada setiap bulan Mei iaitu Sambutan Pesta Kaamatan, pertandingan Sugandoi ini akan berlangsung. Pertandingan ini mencungkil bakat-bakat yang terdapat di Sabah. Walaubagaimanapun, penyertaan pertandingan ini hanya tertumpu kepada yang berdarah Kadazan Dusun Murut sahaja. Pertandingan ini dibahagikan kepada 4 kategori iaitu sugandoi Dazanak(kanak-kanak), sugandoi remaja, sugandoi dewasa, dan sugandoi songkotoun(veteran). Difahamkan peserta wajib untuk memakai pakaian tradisional mengikut daerah masing-masing semasa mengikuti pertandingan ini. Setiap pertandingan ini akan dipertandingkan di peringkat daerah masing-masing. Pemenang bagi setiap daerah ini akan mewakili daerah ke peringkat negeri dimana peringkat ini merupakan peringkat yang tertinggi. Acara kemuncak ini akan berlangsung di dewan Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA), Penampang, Sabah.

Sugandoi peserta lelaki.
Sugandoi peserta wanita

Unduk Ngadau

Unduk Ngadau merujuk kepada semangat Huminodun. Unduk Ngadau berasal dari perkataan “runduk tadau”, yang bermakna gadis yang dimahkotakan sinaran cahaya matahari. Dikatakan, selepas Huminodun dikorbankan oleh Kinoingan, selepas tujuh hari Unduk Ngadau muncul dari kakanan dan dipercayai sebagai jelmaan semangat Huminodun. Unduk Ngadau juga dikatakan sebagai orang yang pertama mengajar Bobohizan mentera yang diamalkan sehingga sekarang. Semenjak itu perkataan Unduk Ngadau digunakan bagi melambangkan kecantikan dan kebaikan budi bahasa Huminodun. Pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau akan diadakan pada perayaan Tadau Kaamatan.

Peserta Unduk Ngadau menarik perhatian pengunjung semasa Sambutan Pesta Kaamatan.
Peserta-peserta Unduk Ngadau.
Peserta Unduk Ngadau mewakili Inanam, Hosaini James Jaimis (tengah) dinobatkan sebagai Unduk Ngadau sempena Pesta Kaamatan 2018 Peringkat Negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan, Penampang. Tempat ke-dua, Sherrylyn Jane Rannytho mewakili Penampang (kiri) dan Vanessa Audrey Gilbert mewakili Putatan.

ARAMAITI! Tidak wajib kalau Kaamatan tidak ada “Moginum”.

( Amaran keras : Seseorang yang beragama Islam dilarang keras untuk moginum. TAPI kalau mahu moginum juga, tanggung sendiri. )

Moginum merupakan perkataan bahasa dusun yang bermaksud “minum” dalam bahasa melayu dan “drink” dalam bahasa English. Namun harus berwaspada terhadap perkataan ini, walaupun ianya membawa maksud yang baik namun ianya membawa maksud yang berlainan kepada pengguna bahasa tegar. Budaya “MOGINUM” merupakan salah satu syarat untuk sambutan Pesta Kaamatan. Ianya perkara wajib yang perlu ada menjelang ataupun apabila sambutan Pesta Kaamatan diadakan. Antara kebaikan “moginum” bagi mereka yang mengamalkan tradisi ini adalah melalui moginum kita dapat mengeratkan lagi hubungan sesama kita (Pisompuruan). Melalui moginum juga ianya dapat mengurangkan tekanan pada diri. Ianya dilakukan dengan aktiviti seperti menyanyi sambil bermain gitar, membuat permainan ataupun “GAME” untuk menghilangkan segala tekanan disamping itu dapat mengeratkan persaudaraan.
Melalui moginum, kita dapat menambah “pengetahuan” dengan bercerita/berbahas mengenai sesuatu isu dan saling bertukar-tukar pendapat. Apa yang lagi menarik, moginum juga membolehkan kita merisik “SUMANDAK” atau “TANAK WAGU” yang merupakan anak dara ataupun teruna dalam bahasa Malaysia.

Walaubagaimanapun, moginum juga dapat mendatangkan tindakan yang negatif sekiranya seseorang tidak dapat mengawal dirinya dan pasti akan terjadi sesuatu yang tidak diingini. Jika ingin bergembira ataupun “MOGINUM” sekalipun, harus diingati bahawa nilai-nilai murni di hari sambutan Pesta Kaamatan haruslah dihayati dan difahami. Ianya tidak akan menjadi pesta yang meriah sekiranya timbul tindakan-tindakan yang negatif semasa sambutan itu seperti pergaduhan, pembuangan sampah di merata-rata tempat dan juga tabiat-tabiat negatif yang selalu terjadi semasa sambutan Pesta Kaamatan ini.

Harus diingati bahawa kita yang menetap di Sabah ini mempunyai keharmonian dan jati diri yang tinggi serta tidak mudah mencalarkan maruah diri sendiri. Disebabkan itulah ianya amat penting untuk kita sebagai masyarakat yang dihormati untuk menghayati dan memahami nilai-nilai murni yang diperlukan semasa sambutan Pesta Kaamatan. Erti “Kaamatan” itu sendiri perlu difahami oleh masyarakat bagaimanakah sambutan Pesta Kaamatan ini terjadi agar warisan turun temurun nenek moyang kita tidak lapuk ditelan zaman. Akhir kata daripada kami di sini, tidak salah untuk bergembira pada sambutan Pesta Kaamatan tetapi haruslah kita menghayati dan memahami nilai-nilai murni warisan yang ada pada Pesta Kaamatan agar dapat mengekalkan keharmonian dalam perpaduan kaum yang berada di Sabah.

Persembahan Koir lagu-lagu Kadazan-Dusun.

Ehh Ehh Ehh.. ARAMAITI! Jangan lupa nanti kita jumpa di KDCA semasa sambutan Pesta Tadau Kaamatan. Selamat menyambut Pesta Kaamatan 2019! Dengarkan lagu ini sumber daripada Youtube, Francis Landong. ARAMAITI BOSSKU!

Navigation:

https://www.google.com/maps/place/KDCA+Cultural+Village/@5.923164,116.0871753,17z/data=!4m8!1m2!2m1!1skdca+kaamatan+sumazau!3m4!1s0x0:0x8a5a5f0586868d9a!8m2!3d5.9231638!4d116.0893643

Leave a Reply